Wednesday, April 29, 2009

Kuat Akar Tegaklah Cengal


berita-utama-290409

Kuala Lumpur, 29 April - ‘Lidi sebatang rapuh nan patah, bila segumpal padulah ia’, simpulan bahasa yang harus dihayati oleh setiap ahli di dalam UMNO sama ada di peringkat akar umbi hinggalah ke pemimpin-pemimpin parti.

Peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa UMNO seharusnya perlu dijadikan sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif yang membuka seluas-luas pintu untuk segenap lapisan rakyat perlu dihayati oleh semua terutama pemimpin-pemimpin parti.

Sebagaimana asal ketika penubuhannya dahulu, yang diterima sangat baik dari pelbagai latar belakang pendidikan, profesion dan taraf hidup, kini menjadi tanggungjawab terutama kepada pemimpin akar umbi di peringkat cawangan mengaplikasikannnya.

Dalam mengharungi dunia politik yang semakin matang ini, seharusnya tiada lagi budaya cantas-mencantas, menafikan hak orang lain yang ikhlas untuk menyumbang kepada parti dan tidak bersikap pilih kasih.

Apa yang diimpikan oleh pucuk pimpinan parti ialah, hasil kekuatan dan kesepaduan di peringkat cawangan yang mempunyai pelbagai latar pasti akan membuatkan parti menjadi lebih kukuh sebagaimana sebuah pokok, dahan yang kuat datangnya dari akar yang kukuh.

Begitu juga, setiap pemimpin parti di peringkat cawangan wajar bersikap sentiasa prihatin, sudi mendengar masalah dan mengambil berat bukan sahaja khusus kepada ahli parti tetapi juga terhadap masyarakat setempat serta tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Manakala bagi setiap ahli pula perlu memberi sokongan dan dorongan yang padu kepada setiap pemimpin supaya wujud satu suasana yang harmoni di dalam melaksanakan tugas.

Jika pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara baik berbekalkan niat untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif lain.

Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka, dengan kata berbentuk cacian dan menghina atau tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin itu. Hendaklah kita sedari pemimpin adalah manusia biasa yang ada kalanya melakukan kesilapan dalam menguruskan urusan pentadbiran.

Namun, jika pemimpin melakukan kesilapan ia bukan bererti kita dibenarkan untuk mencela secara terbuka tetapi hendaklah menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara penuh hikmah.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh cara menasihati pemimpin melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya.”

Kata-kata keramat Presiden, berubah atau diubah juga perlu dihadami oleh semua pihak berusaha memperkukuhkan parti UMNO ini kerana telah terbukti sebagai sebuah parti yang berjuang mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Apa gunanya mempunyai jawatan dalam parti jika bumi yang dipijak milik orang.

0 comments:

Post a Comment