KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli-ahli UMNO perlukan satu keberanian bukan setakat dengan kata-kata sahaja tetapi juga dengan memperjuangkan idealogi yang dipegangnya iaitu demi agama, bangsa dan Negara dalam apa jua keadaan bagi memastikan kekukuhan dan keteguhannya dalam arena politik dan pentadbiran Negara.
Sesungguhnya, kupasan dari tiga panel forum bual bicara anjuran Ibu Pejabat UMNO yang membariskan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (Ahli Akademik, Penganalisis Politik), Datuk A. Kadir Jasin (Bekas Ketua Pengarang NST, bloggers) dan Datuk Mohd Hafarizam Harun selaku Penasihat Undang-undang UMNO amat memberangsangkan dengan moderatornya ADUN Kuala Sentul, Pahang Datuk Shahaniza Samsuddin.
Program forum tersebut akan disampaikan secara bersiri dengan siri pertama menampilkan tajuk ‘Trend Pilihan Raya Kecil’ yang berjaya memberi input kepada khalayak seramai 200 orang terdiri dari Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, para bloggers, dan orang awam.
Dalam perbincangan tersebut, Prof. Dr. Zainal memaklumkan bahawa pengundi hari ini telah berubah dengan melihat faktor penentu pilihan raya bukan hanya diletakkan dalam isu nasional semata-mata sebaliknya ia juga melibatkan faktor peribadi, pengalaman dan isu tempatan menjadi keutamaan.
“Berdasarkan pilihan raya yang lalu, masyarakat memilih janji-janji popular tanpa melihat kepada jangka masa panjang yang mempunyai pengaruh kepada kehidupan misalnya 20 peratus penurunan harga air atau harga minyak, tanpa melihat kepada kesan akan datang,” katanya.
Selaras dengan kepakarannya, Datuk Kadir Jasin melontarkan pandangannya bahawa media adalah peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan ia perlu dilakukan dengan telus agar penguasaan media arus perdana oleh BN/UMNO tetap berjaya kuasai pemikiran rakyat tanpa dimanipulasi mana-mana tabloid lain.
Bagi Datuk Hafarizam pula, beliau menganggap bahawa persepsi masyarakat yang memandang negatif terhadap UMNO juga turut memberi kesan kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
“Masalah persepsi ini dilakukan dengan menganggap apabila BN menang dalam kes mahkamah maka kononnya akan wujud tangan-tangan ghaib sedangkan sekiranya pakatan campuran menang dikata pula suara rakyat sedangkan ianya tidak benar,” katanya.


















0 comments:
Post a Comment