Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Ahmad Maslan berkata, fitnah yang dilemparkan kepada kepimpinan parti perlu perlu dijawab dengan fakta yang betul, berani dan tegas kerana telah menjadi kebiasaan bagi pembangkang sengaja melemparkan pelbagai fitnah untuk membina persepsi negatif terhadap pemimpin-pemimpin UMNO.
Segala tuduhan dan cerita dongeng ini, ujar beliau, perlu dijawab dengan berani dan tegas dan jangan membiarkan mereka terus memanipulasi pemikiran rakyat.
Sebagai contoh, Datuk Seri Mohd Najib bersumpah sebanyak tiga kali, iaitu di Ijok, di Masjid Gual Perahu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan di hadapan pemimpin akar umbi UMNO di Dewan Merdeka bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya tetapi masih difitnah oleh pembangkang.
“Tetapi masih ada yang tidak percaya sedangkan Anwar Ibrahim langsung tidak pernah sekali pun bersumpah,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Bernama, Jabatan Pengarang, Bernama TV dan Radio 24, di sini.
Sehubungan itu, jentera Penerangan UMNO perlu memainkan peranan proaktif, kreatif dan efektif bagi memastikan UMNO terus relevan, katanya.
Sebelum itu, pada minggu lalu, hasil pertemuan Biro Penerangan pusat dengan beberapa jentera penerangan di peringkat negeri telah menemukan kaedah yang pelbagai bagi mendekati seterusnya memenangi hati rakyat selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan.
YB Ahmad Maslan memberi penekanan kepada setiap ahli dan pemimpin UMNO perlu mengamalkan kaedah KBSM iaitu Kenduri (K), Bersalin (B), Sakit (S) dan Mati (M).
Konsep itu katanya ialah dengan menggalakkan ahli dan pemimpin parti menghadiri majlis kenduri, menziarahi wanita bersalin, orang sakit dan meninggal dunia di kawasan masing-masing dan secara langsung dapat mendampingi masyarakat terutama pengundi atas pagar yang sebelum ini beralih kepada menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
Antara jentera penerangan empat peringkat yang ditemui adalah seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Selain KBSM, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, ahli dan pemimpin UMNO perlu menggunakan prinsip 4P dan 4S bagi menarik sokongan empat juta rakyat yang akan berdaftar sebagai pengundi baru dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, 4P ialah Pemimpin, Perpaduan, Penerangan dan Pelaksanaan, manakala 4S bermaksud Semangat, Sama-sama berjuang, berSungguh-sungguh dan Sistematik.
Begitu juga dengan formula PP SM SS bermaksud bekerja pagi petang (PP), siang malam (SM) dan subuh senja (SS) atau dalam kata erti lain turun padang mendekati rakyat tujuh hari seminggu di mana menurutnya formula tersebut pernah dipraktikkan oleh Datuk Mustapa Mohamed di Jeli dan membuahkan hasil yang amat baik.
Menurutnya, hasil penggemblengan tenaga antara ahli dan pemimpin, tidak mustahil BN mampu menang lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum akan datang.
Ujar Ahli Parlimen Pontian itu lagi, antara usaha terpenting memperkukuhkan UMNO ialah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan semua peringkat.
“Saya cadangkan Ketua Penerangan mempunyai KPI daripada segi jumlah program penerangan yang dibuat terutamanya oleh UMNO cawangan, bahagian, negeri dan pusat,” katanya.
Bagaimanapun, kaedah-kaedah biasa seperti seminar, kursus, ceramah dan sebagainya perlu tetap diteruskan kerana ia juga penting.
Di samping itu, katanya lagi, UMNO perlu menggunakan kelebihan-kelebihan pada media cetak dan elektronik dalam mendekati rakyat dan seterusnya mencapai objektif mengukuhkan semula parti itu.
Terdapat empat kaedah yang perlu digunakan ialah MB (Media Bersemuka), MC (Media Cetak), ME (Media Elektronik) dan MM (Media Maya), tambahnya lagi.
Mengenai pilihan raya kecil DUN Manik Urai, beliau berkata, pihaknya akan memberi penerangan kepada pengundi tentang apa yang berlaku di negeri Perak agar mereka benar-benar faham dan boleh membuat pertimbangan yang wajar.
”Di sana kita akan memberi penerangan tentang tuduhan-tuduhan pembangkang terhadap Barisan Nasional di Perak,” katanya.


















0 comments:
Post a Comment