KUALA LUMPUR, 13 Mei – Hari ini genaplah 40 tahun peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang mengorbankan nyawa, merosakkan harta benda dan memporakperandakan Ibu Kota ekoran daripada ketidakstabilan perpaduan dan lunturnya persefahaman serta tolak ansur di kalangan rakyat.
Sesungguhnya, situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini, jika tidak dibendung tidak mustahil akan menimbulkan kepincangan yang juga akan mampu untuk membawa peristiwa tersebut berlaku lagi.
Dalam hal ini, tidak dinafikan bahawa krisis politik Negeri Perak yang telah berlarutan sejak awal tahun lalu menimbulkan ketidaksenangan dan keresahan di hati rakyat apatah lagi, secara terang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh, cuba menghidupkan bara yang terpadam atas maksud kepentingan peribadi.
Lihat sahaja bagaimana perkembangan negatif tersebut menjadi satu krisis dan polemik yang panjang ekoran keangkuhan dan keegoan sesetengah pihak yang enggan menerima hakikat atas apa yang terjadi.
Perlu difahami bahawa apa yang berlaku di DUN Perak sengaja dirumitkan dengan manipulasi pakatan campuran untuk menggagalkan perancangan yang telah dibuat sedangkan telah nyata bahawa Baginda Sultan dan kerajaan BN sendiri enggan melayan sebarang tuntutan tidak berfaedah kerana yang penting adalah tumpuan kepada pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Walau bagaimanapun, pakatan campuran sememangnya tidak berpuas hati lantas mereka cuba pula memperalatkan rakyat dengan menghasut untuk mengadakan demonstrasi, termasuklah berbaring di jalanan dan mewujudkan satu himpunan lain yang diberi nama ‘One Black Malaysia’.
Kononnya sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan pakatan campuran yang dipimpin oleh Nizar sekaligus menyatakan bantahan terhadap BN.
Lantas, mengapa perhimpunan jalanan (demonstrasi) dijadikan pilihan sedangkan, tidak kira apa sahaja bentuknya sekalipun, ia akan tetap membawa kepada kesan negatif.
Walaupun demonstrasi dikatakan ‘halal’ dari segi demokrasi dan tidak salah tetapi perlu dilihat impaknya ke atas masyarakat yang mencakupi pelbagai aspek bukan sahaja dari segi sosial tetapi ia secara tidak langsung membantutkan ekonomi dan imej negara di peringkat antarabangsa.
Sewajarnya, mengapa tidak difikirkan kelangsungan kesan terhadap individu dan masyarakat sekeliling.
Ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan demonstrasi jalanan yang selalu dilakukan. Alasan mereka ialah demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.
Rakyat sesebuah negara yang masih lagi belum begitu matang dari segi pemikiran dan emosinya hanya akan menggunakan sentimen apabila membicarakan mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan menuntut hak asasi yang merupakan antara cara Barat untuk menundukkan negara Islam.
Fahamilah bahawa peristiwa 13 Mei empat dekad lalu membawa kesan yang cukup panjang kepada sesiapa yang mengalaminya malahan, dikatakan untuk menyatupadukan dan mewujudkan perpaduan selepas peristiwa tersebut, Kerajaan terpaksa melakukan pelbagai tindakan.
Antaranya, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) – menerusi strategi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat; pelaksanaan Rukun Negara dan penubuhan Majlis Muhibah Negara.
Sememangnya, peristiwa berdarah 13 Mei perlu dijadikan iktibar apatah lagi dilaporkan bahawa angka rasmi menunjukkan 196 kematian, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan.
Ini tidak termasuk lagi dengan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang bukan sedikit impaknya.
Lantaran itulah, kewajaran perlu diletakkan di tangga teratas dalam melaksanakan tuntutan tanpa melihat kepada kepentingan individu semata-mata sebaliknya mengutamakan rakyat dan negara dengan menerobos masa hadapan.
Dalam mengaitkan dengan situasi politik yang berlaku hari ini, sememangnya kerisauan bukanlah ke atas cubaan pakatan campuran kepada motif untuk menghancurkan BN semata-mata sebaliknya ia juga adalah sebagai cubaan mereka untuk merobek keamanan dan kesejahteraan di samping merosakkan perpaduan antara kaum yang telah terjalin sekian lama.
Walhal, UMNO waima BN sendiri tidak pernah campur tangan dalam mana-mana pentadbiran yang mereka lakukan tetapi akur dengan keputusan rakyat kerana yang bersalah tetap salah dan kebenaran terbukti.
Nilailah sendiri pelbagai peristiwa yang berlaku, sesungguhnya setiap kesalahan akan dipalitkan kepada BN dan UMNO termasuklah juga keputusan mahkamah iaitu apabila keputusan tidak berpihak kepada mereka, akan dikatalah UMNO dan BN mempengaruhi keputusan tersebut.
Atau lakukanlah apa sahaja termasuk projek-projek pembangunan dan penyediaan prasarana untuk rakyat walaupun pakatan pembangkang turut dapat menikmatinya, akan dikata pula BN dan UMNO cuba menggula-gulakan mereka untuk meraih sokongan.
Tindakan pakatan campuran yang tidak bertanggungjawab kepada bangsa dan negaranya terserlah apabila satu demi satu prinsip Rukun Negara yang menjadi teras dalam kehidupan sebagai warga Malaysia dicabuli dan kini prinsipnya bagai perlu dihuraikan agar dapat difahami bukan sahaja masyarakat tetapi juga golongan ‘pemimpin segera’ mereka yang tiba-tiba mendapat kuasa.
Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara dan idealogi kebangsaan yang dijadikan sebagai garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia.
Namun demikian, dari hari ke hari nampaknya ada segelintir rakyat semakin dangkal dan gagal memahami idealogi kebangsaan tersebut.
Sememangnya, prinsip Rukun Negara ini wajar menjadi panduan kepada semua pihak apatah lagi kepada sekutu-sekutu PKR-DAP-PAS yang telah lupa akibat kabur dengan kuasa dan pangkat yang ada.
Justeru, ambillah iktibar dari peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Tepuk dada bukalah minda dan fahamilah bahawa perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni bersandarkan kepada pemimpin yang boleh dicontohi etika dan moralnya!

















0 comments:
Post a Comment