Sunday, May 24, 2009

Manipulasi Lagi…


picasioncom-manipulasi

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Sudah-sudahlah. Tentunya rakyat telah muak dengan hidangan berita-berita politik apatah lagi apabila ada pihak-pihak tertentu yang sengaja menangguk di air keruh dengan memburuk-burukkan Kerajaan.

Tidak kiralah apa sahaja yang dilakukan oleh BN/UMNO, sama ada untuk keselesaan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat maka akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang atas tujuan untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Bukan sahaja memutar belitkan fakta yang sedia ada malah, ayat-ayat propaganda yang bombastik digunakan bagi menyedapkan cerita agar rakyat terpengaruh dengan dakyah negatif mereka untuk membenci Kerajaan.

Lihat sahaja bagaimana keputusan mahkamah berkaitan pentadbiran Negeri Perak yang tidak berpihak kepada pakatan pembangkang, maka ia dijadikan sebagai satu bahan oleh mereka dengan ceramah-ceramah semasa, kononnya mahkamah dipengaruhi oleh Kerajaan.

Bukan itu sahaja, baru dua hari kempen pakatan pembangkang untuk pilihan raya di Penanti bermula, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim telah menggunakan isu tersebut sebagai salah satu bahan utama memburukkan Kerajaan.

Sedangkan, jika dinilai semula kesannya untuk masyarakat di Penanti, ia tidak berkait langsung dengan pentadbiran Negeri Perak apatah lagi BN /UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya DUN Penanti.

Sememangnya ini bukanlah kali pertama berlaku malah dalam apa sahaja sesi ceramah yang diadakan oleh pihak pembangkang, kunci utama dalam ucapan mereka adalah dengan menimbulkan aib, fitnah dan caci maki kepada Kerajaan walhal mereka sendiri turut mendapat tempias hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Bukankah lebih baik masa berucap yang terluang diisi dengan agenda dan perancangan yang lebih baik daripada mengira dan cuba menelanjangkan orang lain sedangkan kurap panau di badan sendiri terserlah.

Nilailah sendiri, bagaimana mungkin pakatan pembangkang mahu bercakap tentang agenda dan masa depan parti mereka sedangkan mereka sendiri tandus dan fakir dalam mensyukuri setiap nikmat yang ada.

Jikalau mereka mahu bercakap tentang pembangunan dan kemajuan dalam parti mereka, bagaimana mungkin ia akan dilakukan sedangkan pakatan pembangkang tidak pernah menyumbang kepada apa-apa kemajuan sama ada di negeri lain apatah lagi di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka sendiri.

Jika mereka hendak bercakap tentang perpaduan pula, tidak ada satu bukti pun yang mereka benar-benar mengamalkan perpaduan sedangkan sikap mereka sendiri saling bermuka-muka biarpun sesama khalayak mereka sendiri, depan cakap lain dan di belakang tersedia belati tajam untuk saling bertikam.

Apatah lagi idealogi antara tiga parti bersekutu iaitu PAS, DAP dan PKR sendiri jauh menyimpang daripada apa yang menjadi realiti, dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Apa yang jelas, janji-janji yang mereka taburkan selama ini hanyalah palsu belaka, termasuklah berkerajaan sendiri, menjadi Perdana Menteri, kerajaan bayangan dan pelbagai janji manis yang nyata tidak akan menjadi realiti.

Lantaran itulah, modal paling mudah bagi pakatan pembangkang adalah dengan mencari keburukan dan memanipulasikan fakta-fakta sebenar demi kepentingan politik mereka.

Buktinya, di Penanti, biarpun jelas BN/UMNO tidak berkait dalam pilihan raya kecil tersebut tetapi namanya dijaja saban kempen yang pakatan pembangkang lakukan.

Justeru, nilailah sendiri siapa yang terdesak untuk mendapat sokongan rakyat?

0 comments:

Post a Comment