Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga memaklumkan draf cadangan untuk pindaan perlembagaan hampir siap dan akan diedarkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
“Ketetapan berkaitan pindaan perlembagaan tersebut akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas,” katanya.
Dalam persidangan tersebut juga, hanya satu usul sahaja yang akan dibincangkan iaitu ucapan usul penghargaan kepada Presiden dan di bawahnya boleh dibawa usul-usul lain untuk dibentangkan.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Menara Dato Onn di sini.
Dalam perkembangan yang lain, Datuk Seri Najib memaklumkan bahawa MT telah bersetuju agar ahli-ahli Lembaga Disiplin ditambah iaitu Datuk Haji Ismail Said, Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan; Datuk Zuraidah Atan, peguam, Tuan Haji Wahab Wahid, bekas Penolong Kanan Penguasa BPR; Tuan Haji Nordin Saidin, pesara inspektor polis dan Mohd. Zain Ismail, pesara penguasa polis.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Najib juga mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan kembali mantan Perdana Menteri keempat Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah dan Datuk Mokhzani Mahathir.
MT juga turut membincangkan beberapa perkara tentang panel rayuan Lembaga Disiplin.
“MT setuju atas syor jawatankuasa pengurusan bahawa seseorang yang dihadap ke mahkamah akan digantung jawatan sehingga proses perbicaraan selesai,” katanya.
Berkaitan dengan persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, beliau menyatakan bahawa UMNO telah melakukan persiapan yang perlu.
“Datuk Mustapa Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Manik Urai dengan Timbalan Perdana Menteri akan menyelia gerak kerja,” katanya lagi.
Sementara calon yang akan diletakkan di DUN tersebut adalah yang terbaik dengan syor daripada badan perhubungan UMNO negeri sendiri.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 14 Julai.


















0 comments:
Post a Comment