
Justeru, cabaran masa kini kepada kerajaan adalah bagaimana untuk menanamkan dalam diri belia, yang akan mewarisi kepimpinan negara ini pada masa akan datang, bagaimana menghayati kesemua itu terutama semangat perpaduan antara kaum dan pembinaan negara bangsa.
Sehubungan itu, sempena Hari Belia, yang jatuh pada hari ini bertemakan ‘Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan’, diharapkan menjadi pemangkin kepada generasi muda mempersiapkan diri dengan pengisian yang mampu memacu diri memberikan makna yang besar ertinya kepada kejayaan dan kemajuan negara.
Belia merupakan golongan pelapis yang amat penting kerana golongan ini yang bakal mencorak negara dalam memastikan sesebuah negara menjadi sebuah negara maju atau sebaliknya.Belia didefinisikan sebagai golongan yang berada dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun.
Dengan cabaran di dalam dunia tanpa sempadan semakin menghimpit, keperibadian belia yang tinggi nilai akhlaknya amat penting diterapkan dalam jati diri belia masa kini. Sekiranya keperibadian jati diri belia diracuni oleh anasir-anasir negatif seperti gejala penagihan dadah, berlumba haram dan sebagainya lagi yang bertentangan dengan undang-undang, maka usaha negara untuk mencanang sebagai sebuah negara maju dengan Wawasan 2020 pastinya menjadi angan semata-mata.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan situasi ini, pastinya kita mengharapkan agar gejala yang meracuni belia-belia remaja ini dihapuskan sama sekali. Oleh itu kita seharusnya menyokong usaha kerajaan dalam usaha membasmi gejala negatif yang kini semakin menular dalam jiwa belia kita
Golongan ini yang mewakili lebih 40 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan. Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara serta sebagai bakal pemimpin negara, golongan belia perlu menanamkan dan mempersiapkan diri dengan hal-hal berkaitan kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan.
Selain dari itu, tumpuan juga wajar diutamakan ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti. Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus dimiliki oleh setiap belia.
Sesungguhnya aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara atau bangsa bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang paling bernilai dan berharga adalah kualiti warga generasi mudanya.
Apa yang harus difahami oleh generasi muda sekarang ialah menanamkan sikap dan kesungguhan menjadi umat pencipta, mencipta sebuah tamadun baru dan bukannya sebagai umat pengguna.

















0 comments:
Post a Comment