Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh BN akan tetap diteruskan selaras dengan manifestonya ‘Selamat, Aman dan Makmur’ dengan hasrat kepada pertumbuhan ekonomi mapan, pembangunan seimbang dalam aspek pendidikan dan sosial di samping mengurangkan beban rakyat dan memelihara ketenteraman awam.
Dalam hal ini, pakatan pembangkang ternyata tidak senang duduk apatah lagi apabila peralihan kepimpinan yang berlangsung Mac lalu berjalan dengan lancar dan teratur tanpa sebarang pertelingkahan biarpun pakatan pembangkang secara-terang-terangan membuat serangan terhadap BN dan kepimpinan UMNO.
Sememangnya para pemimpin tertinggi parti-parti kompenan BN sedar bahawa sikap pembangkang akan kekal begitu iaitu akan tetap membantah setiap apa yang dilakukan oleh para teraju Kerajaan biarpun secara tidak langsung, mereka turut mendapat imbuhan daripada apa yang Kerajaan salurkan.
Lihat sahaja bagaimana penerimaan mereka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinetnya, maka dengan lantang para pembangkang membuat spekulasi atas nama Si Polan kononnya lebih kanan dari Si Polan, dan kononnya juga pertalian saudara menjadikan Perdana Menteri berat sebelah dan pelbagai lagi manipulasi mereka atas apa yang berlaku.
Hingga ke hari ini, para pembangkang masih kekal dengan sikap prejudis mereka yang hanya pandai menaburkan janji-janji dalam kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila sudah mendapat kuasa maka gagal untuk melaksanakannya.
Buktinya, tidak ada sebarang pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat dibawa di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang sebaliknya wakil rakyat yang diamanahkan untuk menjadi suara kepada masyarakat pula gagal menjaga kebajikan rakyat kerana sikap pentingkan diri sendiri.
Dalam hal ini, ingatlah kembali janji Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya sewaktu memikul amanah rakyat Malaysia yang bukan sahaja mula mengorak langkah melakukan beberapa perubahan dan pembaharuan di dalam kerajaan malah hal ehwal yang berkaitan parti juga turut mendapat perhatian serius.
Sebagai pemimpin yang faham situasi rakyat, beliau telah banyak bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan masyarakat di pelbagai kedudukan untuk mendengar keluh kesah, pandangan serta kehendak mereka yang mendambakan pembaharuan juga perubahan. Lantas, mesej yang jelas, adalah mereka inginkan sebuah kerajaan yang responsif terhadap keperluan rakyat hari ini, dalam masa yang sama bersiap siaga menumpah khidmat kepada generasi mendatang.
Selaras dengan itu, nilai integriti dan piawai/standard yang tinggi untuk mengekalkan kepercayaan rakyat diutamakan .
Keyakinan Perdana Menteri terserlah dalam meneruskan kesinambungan usaha membina sebuah kerajaan untuk semua rakyat iaitu Kerajaan yang akan berbakti untuk memenuhi keperluan rakyat.
Lantaran itu, Kerajaan mengatur strategi bagi memperbaharui ekonomi negara untuk menangani kesan kemelesetan ekonomi global serta mencipta penyelesaian apabila mendepani cabaran perubahan struktur yang akhirnya berupaya menonjolkan potensi sebenar di samping membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diperkukuhkan atas dasar kepercayaan serta sikap saling hormat menghormati.
Datuk Seri Najib juga mencabar rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk bersama-sama memadu tenaga ke arah pembaharuan negara dengan memahami bahawa era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengamalkan sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ (government knows best) sudah berlalu.
Justeru, impian bagi mencapai cita-cita untuk Malaysia hanya akan menjadi realiti apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman makmur.
Selamilah ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.


















0 comments:
Post a Comment