KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ramai pihak yang bercakap tentang perpaduan dan impikan kesejahteraan berpanjangan dengan kerjasama pelbagai pihak biarpun berbeza bangsa, agama dan kepercayaan selain fahaman idealogi yang tidak sehaluan.
Namun demikian, dengan tentangan pendapat yang tidak ada persefahaman dalam pakatan campuran apatah lagi apabila memperkatakan berkaitan cadangan idea kerajaan perpaduan oleh Presiden PAS, Hadi Awang menampakkan bahawa ada yang tidak kena.
Perkembangan positif tersebut bukan sahaja disambut baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya kalangan pemimpin dalam UMNO dan BN di samping masyarakat keseluruhannya melahirkan kegembiraan.
Malangnya, ada pihak yang seakan tidak senang dengan perkembangan untuk mewujudkan satu ikatan perpaduan atas tujuan menyelesaikan permasalahan dalam Negara untuk kepentingan bersama.
Apa yang pasti, tentunya yang menentang keras adalah sekutu pembangkang khususnya DAP yang sememangnya terkenal dengan sikap radikal dan lantang bersuara tanpa tahu menilai tujuan sebenar apatah lagi untuk menggambarkan kualiti yang akan diperoleh hasil wujudnya perpaduan tersebut.
Perlu diingat bahawa lunturnya perpaduan dikalangan rakyat akan menimbulkan rasa syak wasangka dan prejudis antara satu sama lain yang tentunya akan membawa kepada suasana tidak aman dan selamat.
Bukan sahaja dari aspek sosial malahan, bentuk model baru ekonomi yang sedang dirancang oleh kerajaan juga tidak akan berjaya tanpa gandingan antara pemimpin dengan keseluruhan rakyat, apatah lagi untuk merealisasikan impian Wawasan 2020 dengan semua prinsipnya tercapai.
Dalam hal ini, sesungguhnya tidak kiralah di mana letak kedudukan idealogi atau manifesto politik sesebuah parti, seharusnya ia tidak akan membangkitkan persoalan-persoalan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kerukunan yang sedia terjalin erat.
Apatah lagi cubaan menghalang adanya perbincangan dan persefahaman antara mana-mana pihak untuk kepentingan bersama.
Dalam aspek perpaduan, ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan nipisnya ikatan persefahaman yang ada.
Kekacauan dan ketidaktenteraman yang berlaku ekoran hilangnya kepercayaan dan timbulnya dendam berterusan hinggakan pelbagai alasan dijadikan sandaran untuk bersuara ekoran tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.
Imbaslah semula peristiwa 40 tahun lampau iaitu peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang mengorbankan nyawa, merosakkan harta benda dan memporakperandakan Ibu Kota ekoran daripada ketidakstabilan perpaduan dan lunturnya kepercayaan serta tolak ansur di kalangan rakyat.
Sesungguhnya, situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini, jika tidak dibendung dan ditangani maka tidak mustahil akan menimbulkan kepincangan yang juga akan mampu untuk membawa peristiwa tersebut berlaku lagi.
Lantaran itulah, kewajaran perlu diletakkan di tangga teratas dalam melaksanakan tanggungjawab yang bukan hanya tertumpu kepada kepentingan politik semata-mata sebaliknya juga aspek ekonomi dan sosial perlu turut dipertimbangkan; lantas mengutamakan rakyat dan negara dengan menerobos masa hadapan.
Perlu difahami bahawa ikatan perpaduan yang direncanakan antara dua buah parti politik sengaja dirumitkan dengan manipulasi untuk menggagalkan perancangan yang telah dibuat sedangkan telah nyata Kerajaan tidak menghadapi sebarang masalah berkaitannya.

















0 comments:
Post a Comment