Saturday, May 30, 2009

Selami Sejarah, Pertahan Kedaulatan Negara


picasioncom_ea4b55ef565beb9c9551b906baa98abe1

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Nampaknya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu hinggalah ke hari ini, ada sahaja pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh, lantas cuba menimbulkan pelbagai spekulasi dengan cubaan mengaut keuntungan peribadi.

Tindakan mereka yang bersikap angkuh sehingga sanggup mengenepikan kepentingan bersama dan kesejahteraan yang selama ini dinikmati sememangnya amat bertentangan dengan konsep perpaduan dan persefahaman yang telah terjalin sejak merdeka lagi.

Malahan sejak akhir-akhir ini pula, ada pihak yang cuba bermain api dengan menimbulkan semula isu komunis dan ketuanya iaitu Chin Peng sedangkan generasi yang merasa keperitan kekejaman mereka masih lagi kekal dengan kesan yang dihadapi.

Para pejuang terdahulu, bukan sahaja anggota tentera yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara tetapi rakyat juga turut menjadi mangsa ekoran kekejaman bermaharaja lela komunis yang inginkan kuasa dan memusnahkan fahaman demokrasi yang diamalkan.

Apa yang boleh diperkatakan, sesungguhnya, pihak yang menyuarakan dan pakatan pembangkang yang menyokong tindakan tersebut dilihat sebagai warga tidak bertanggungjawab kerana gagal untuk menyelami sejarah negara.

Golongan yang menyokong gesaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke negara ini adalah golongan yang gagal menghayati perjuangan tokoh terdahulu untuk mengekalkan kesejahteraan selain tidak mempunyai sensitiviti terhadap kepahitan dan penderitaan masyarakat.

Sejarah menjadi bukti bagaimana kesan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat keseluruhannya dan pihak keselamatan iaitu anggota polis dan tentera bagaimana mereka terpaksa menghadapi kesulitan dalam kehidupan, kehilangan anggota keluarga ekoran kekejaman anggota komunis dan tidak kurang pula yang mengalami kecacatan kekal hingga ke hari ini.

Sewajarnya, insan seperti Chin Peng perlu bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku dalam negara sebelum kemerdekaan hinggalah negara diisytiharkan benar-benar bebas dari ancaman komunis. Namun malangnya, hingga ke hari ini Chin Peng tidak pernah bertindak memohon maaf atas apa yang berlaku dalam negara, biarpun nyawa menjadi korban dan rakyat menderita tetapi tidak sekelumit pun rasa bersalah atau kesal diluahkan.

Biarpun kerajaan pernah mengumumkan pengampunan kepada anggota komunis dan rundingan dengan Chin Peng diadakan di Baling, namun Chin Peng tetap angkuh dan berkeras mahukan fahaman komunisme diteruskan.

Perlu difahami bahawa perjuangan komunis di Tanah Melayu ialah melalui angkatan bersenjata untuk menakluk Kerajaan pada tahun 1948 hingga 1960 dan kemudian kembali aktif pada tahun 1968 hingga 1989.
Sesungguhnya, pergerakan komunis melalui revolusi bersenjata dengan pelbagai keganasan dalam negara berlaku termasuklah tragedi 13 Mei 1969 yang juga dikatakan turut berkait dengan pengaruh komunis melalui gunting dalam lipatan dan api dalam sekam.

Lantas, dengan kesejahteraan yang ada sekarang ini, janganlah nikmat tersebut diragut dan dipersiakan hanya dengan suara-suara sumbang segelintir rakyat yang dangkal dan gagal menyelami erti kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Lihatlah juga bagaimana tindakan pertubuhan haram HINDRAF yang secara terang-terangan membuat kekacauan dengan pelbagai tuntuan yang tidak masuk akal. Lebih teruk lagi, membuat tuduhan kononnya kerajaan mengamalkan diskriminasi kaum, kerajaan mahu bertindak untuk menghapuskan kaum minoriti sedangkan realiti sebenar dinafikan.

Apatah lagi, penyokong pertubuhan ini juga sebenarnya turut mendapat limpahan nikmat dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan secara sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan pakatan pembangkang; tanpa mengira warna kulit dan bangsa atau anutan agama, apatah lagi fahaman idealogi yang menjadi pegangan, seharusnya prinsip dan landasan untuk terus mengekalkan kedaulatan negara menjadi pegangan dengan Rukun Negara menjadi panduan.

Friday, May 29, 2009

MT – Mesyuarat Khas Pinda Perlembagaan


mt290509

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan persidangan Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung Oktober ini bermula 13 hingga 16hb dengan dimulakan mesyuarat Agung Khas untuk meminda Perlembagaan UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga memaklumkan draf cadangan untuk pindaan perlembagaan hampir siap dan akan diedarkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Ketetapan berkaitan pindaan perlembagaan tersebut akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas,” katanya.

Dalam persidangan tersebut juga, hanya satu usul sahaja yang akan dibincangkan iaitu ucapan usul penghargaan kepada Presiden dan di bawahnya boleh dibawa usul-usul lain untuk dibentangkan.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Menara Dato Onn di sini.

Dalam perkembangan yang lain, Datuk Seri Najib memaklumkan bahawa MT telah bersetuju agar ahli-ahli Lembaga Disiplin ditambah iaitu Datuk Haji Ismail Said, Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan; Datuk Zuraidah Atan, peguam, Tuan Haji Wahab Wahid, bekas Penolong Kanan Penguasa BPR; Tuan Haji Nordin Saidin, pesara inspektor polis dan Mohd. Zain Ismail, pesara penguasa polis.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Najib juga mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan kembali mantan Perdana Menteri keempat Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah dan Datuk Mokhzani Mahathir.

MT juga turut membincangkan beberapa perkara tentang panel rayuan Lembaga Disiplin.

“MT setuju atas syor jawatankuasa pengurusan bahawa seseorang yang dihadap ke mahkamah akan digantung jawatan sehingga proses perbicaraan selesai,” katanya.

Berkaitan dengan persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, beliau menyatakan bahawa UMNO telah melakukan persiapan yang perlu.

“Datuk Mustapa Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Manik Urai dengan Timbalan Perdana Menteri akan menyelia gerak kerja,” katanya lagi.

Sementara calon yang akan diletakkan di DUN tersebut adalah yang terbaik dengan syor daripada badan perhubungan UMNO negeri sendiri.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 14 Julai.

Thursday, May 28, 2009

Satu Malaysia Hadapi Cabaran


picasioncom-bu-280509

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Barisan Nasional (BN) yang menjadi tunjang Kerajaan tetap teguh dengan prinsip dan idealoginya dalam membawa kemajuan dan kestabilan kepada rakyatnya berlandaskan kepada apa yang pernah dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh BN akan tetap diteruskan selaras dengan manifestonya ‘Selamat, Aman dan Makmur’ dengan hasrat kepada pertumbuhan ekonomi mapan, pembangunan seimbang dalam aspek pendidikan dan sosial di samping mengurangkan beban rakyat dan memelihara ketenteraman awam.

Dalam hal ini, pakatan pembangkang ternyata tidak senang duduk apatah lagi apabila peralihan kepimpinan yang berlangsung Mac lalu berjalan dengan lancar dan teratur tanpa sebarang pertelingkahan biarpun pakatan pembangkang secara-terang-terangan membuat serangan terhadap BN dan kepimpinan UMNO.

Sememangnya para pemimpin tertinggi parti-parti kompenan BN sedar bahawa sikap pembangkang akan kekal begitu iaitu akan tetap membantah setiap apa yang dilakukan oleh para teraju Kerajaan biarpun secara tidak langsung, mereka turut mendapat imbuhan daripada apa yang Kerajaan salurkan.

Lihat sahaja bagaimana penerimaan mereka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinetnya, maka dengan lantang para pembangkang membuat spekulasi atas nama Si Polan kononnya lebih kanan dari Si Polan, dan kononnya juga pertalian saudara menjadikan Perdana Menteri berat sebelah dan pelbagai lagi manipulasi mereka atas apa yang berlaku.

Hingga ke hari ini, para pembangkang masih kekal dengan sikap prejudis mereka yang hanya pandai menaburkan janji-janji dalam kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila sudah mendapat kuasa maka gagal untuk melaksanakannya.

Buktinya, tidak ada sebarang pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat dibawa di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang sebaliknya wakil rakyat yang diamanahkan untuk menjadi suara kepada masyarakat pula gagal menjaga kebajikan rakyat kerana sikap pentingkan diri sendiri.

Dalam hal ini, ingatlah kembali janji Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya sewaktu memikul amanah rakyat Malaysia yang bukan sahaja mula mengorak langkah melakukan beberapa perubahan dan pembaharuan di dalam kerajaan malah hal ehwal yang berkaitan parti juga turut mendapat perhatian serius.

Sebagai pemimpin yang faham situasi rakyat, beliau telah banyak bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan masyarakat di pelbagai kedudukan untuk mendengar keluh kesah, pandangan serta kehendak mereka yang mendambakan pembaharuan juga perubahan. Lantas, mesej yang jelas, adalah mereka inginkan sebuah kerajaan yang responsif terhadap keperluan rakyat hari ini, dalam masa yang sama bersiap siaga menumpah khidmat kepada generasi mendatang.

Selaras dengan itu, nilai integriti dan piawai/standard yang tinggi untuk mengekalkan kepercayaan rakyat diutamakan .

Keyakinan Perdana Menteri terserlah dalam meneruskan kesinambungan usaha membina sebuah kerajaan untuk semua rakyat iaitu Kerajaan yang akan berbakti untuk memenuhi keperluan rakyat.

Lantaran itu, Kerajaan mengatur strategi bagi memperbaharui ekonomi negara untuk menangani kesan kemelesetan ekonomi global serta mencipta penyelesaian apabila mendepani cabaran perubahan struktur yang akhirnya berupaya menonjolkan potensi sebenar di samping membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diperkukuhkan atas dasar kepercayaan serta sikap saling hormat menghormati.

Datuk Seri Najib juga mencabar rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk bersama-sama memadu tenaga ke arah pembaharuan negara dengan memahami bahawa era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengamalkan sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ (government knows best) sudah berlalu.

Justeru, impian bagi mencapai cita-cita untuk Malaysia hanya akan menjadi realiti apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman makmur.

Selamilah ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Monday, May 25, 2009

Umno Wilayah Tubuh 10 Sekretariat, Gerak Pelbagai Program

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan membuat penilaian berhubung tahap sokongan masyarakat Melayu di Wilayah Persekutan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Umno, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, berkata tanggungjawab itu akan dilaksanakan oleh Sekretariat Tugas-Tugas Khas yang baru ditubuhkan untuk membuat penilaian secara berkala.

“Kita hendak tahu bagaimana situasi setiap kawasan Parlimen, kekuatan kita, kelemahan kita, apa strategi yang perlu kita ambil untuk menawan semula hati mereka di tempat-tempat yang kita kalah dan bagaimana kita hendak perkukuhkan kedudukan kita di (kerusi) Parlimen yang kita menang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu di sini Jumaat.

Muhyiddin berkata Umno Wilayah Persekutuan akan memberi tumpuan bukan sahaja untuk menangani masalah orang Melayu tetapi kaum lain kerana kawasan ini merupakan satu wilayah kosmopolitan yang paling maju dan membangun.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan bersetuju menubuhkan 10 sekretariat bagi menggerakkan segala program yang dirancang untuk kepentingan wilayah, katanya.

Muhyiddin berkata sekretariat itu dianggotai oleh semua anggota Jawatankuasa Perhubungan Wilayah Persekutuan bagi memastikan semua anggota komited dalam memberi sumbangan mereka.

Sepuluh sekretariat yang ditubuhkan itu terdiri daripada Sekretariat Penerangan, Sekretariat Tugas-Tugas Khas, Sekretariat Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sekretariat Belia dan Orang Muda, Sekretariat Kebajikan, Sekretariat Peniaga Kecil dan Sekretariat Latihan.

Selain itu, turut diwujudkan ialah Sekretariat Keahlian, Sekretariat Perhubungan Awam serta Sekretariat Perumahan dan Kependudukan.

Pada mesyuarat selama tiga jam itu, Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Datuk Syed Ali Alhabshee (Ketua Umno Bahagian Cheras) sebagai Setiausaha Kehormat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang) sebagai Bendahari dan Datuk Mohd Shafie Abdullah (Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju) sebagai Ketua Penerangan.
– BERNAMA

Apa Kaitan BN Dan Penanti?


cd-yang-mana-satu

PULAU PINANG, 26 Mei – Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah pun memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang akan berlangsung hujung bulan ini, malah semua pihak telah sedia maklum dengan keputusan tersebut.

Namun demikian, malangnya nama BN masih tetap juga dikaitkan dengan pilihan raya tersebut malah digunakan sebagai bahan kempen khususnya kepada PKR yang bertanding menentang tiga calon bebas lain.

Persoalannya, apa motif mereka menggunakan BN sebagai bahan untuk terus-terusan difitnah, dicaci-maki dan dipersenda dengan pelbagai cerita-cerita saduran daripada Ketua Pembangkang mereka sendiri.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan untuk tidak melayan permainan politik pembangkang yang terbukti sengaja diada-adakan kononnya untuk terus mengekalkan populariti tanpa melakukan apa-apa projek pembangunan.

Apa yang jelas, sesungguhnya tindakan tersebut telah mengecewakan pakatan pembangkang ekoran kegagalan mereka untuk memerangkap BN dan Kerajaan dengan sandiwara palsu mereka.

Lantas, propaganda lain pula cuba diwujudkan oleh pakatan pembangkang dengan mengada-adakan cerita BN sengaja bersembunyi dan takut untuk bertanding sedangkan faktanya adalah amat jelas bahawa wakil rakyat Penanti sebelumnya iaitu Fairus adalah mangsa permainan politik Anwar Ibrahim sendiri.

Lebih malang lagi apabila tindakan Anwar untuk cuba memerangkap BN tidak berjaya sebaliknya mereka pula yang terjerat ekoran pendedahan bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah pula yang menjadi seteru mereka.

Sememangnya, terlajak perahu boleh diundur tetapi apakan daya, bila nasi dah jadi bubur pakatan campuran terpaksa menelan sahaja apa yang ada di depan mata, biar pun berhempas pulas untuk cuba menggagalkan Aminah daripada bertanding.

Sememangnya pengakuan dan pendedahan Aminah membuka pekung di dada yang selama ini cuba disembunyikan, apatah lagi Aminah bukanlah anak kecil yang boleh dipermainkan sebaliknya beliau adalah antara individu awal yang menyokong penubuhan PKR bersama Wan Azizah.

Apa yang pasti, pengakuan Aminah yang mendakwa ditawarkan RM80,000 dan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang sekiranya menarik diri dari bertanding di Penanti adalah sesuatu yang memalukan.

Jika sebelum ini, BN difitnah dengan pelbagai kata-kata dan tuduhan palsu, apa pula yang akan digunakan oleh pakatan campuran untuk menafikan pengakuan Aminah apatah lagi Aminah mempunyai bukti kukuh berkaitan hal tersebut.

Dalam hal ini juga, BN tidak akan campurtangan dan terserahlah kepada mereka untuk menafikan atau mengiakannya, namun untuk masyarakat Penanti pastinya tahu menilai antara kaca dengan permata.

Jentera Penerangan Proaktif Perluaskan Kaedah Dekati Hati Rakyat


ahmad-maslan-kbsm

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Ahli-ahli UMNO perlu berani berhadapan dengan pembangkang dan menyatakan perkara yang benar supaya rakyat tidak terus dibiarkan terpedaya dengan berita palsu dan fitnah yang dilemparkan di dalam laman blog dan siri ceramah pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Ahmad Maslan berkata, fitnah yang dilemparkan kepada kepimpinan parti perlu perlu dijawab dengan fakta yang betul, berani dan tegas kerana telah menjadi kebiasaan bagi pembangkang sengaja melemparkan pelbagai fitnah untuk membina persepsi negatif terhadap pemimpin-pemimpin UMNO.

Segala tuduhan dan cerita dongeng ini, ujar beliau, perlu dijawab dengan berani dan tegas dan jangan membiarkan mereka terus memanipulasi pemikiran rakyat.

Sebagai contoh, Datuk Seri Mohd Najib bersumpah sebanyak tiga kali, iaitu di Ijok, di Masjid Gual Perahu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan di hadapan pemimpin akar umbi UMNO di Dewan Merdeka bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya tetapi masih difitnah oleh pembangkang.

“Tetapi masih ada yang tidak percaya sedangkan Anwar Ibrahim langsung tidak pernah sekali pun bersumpah,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Bernama, Jabatan Pengarang, Bernama TV dan Radio 24, di sini.

Sehubungan itu, jentera Penerangan UMNO perlu memainkan peranan proaktif, kreatif dan efektif bagi memastikan UMNO terus relevan, katanya.

Sebelum itu, pada minggu lalu, hasil pertemuan Biro Penerangan pusat dengan beberapa jentera penerangan di peringkat negeri telah menemukan kaedah yang pelbagai bagi mendekati seterusnya memenangi hati rakyat selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan.

YB Ahmad Maslan memberi penekanan kepada setiap ahli dan pemimpin UMNO perlu mengamalkan kaedah KBSM iaitu Kenduri (K), Bersalin (B), Sakit (S) dan Mati (M).

Konsep itu katanya ialah dengan menggalakkan ahli dan pemimpin parti menghadiri majlis kenduri, menziarahi wanita bersalin, orang sakit dan meninggal dunia di kawasan masing-masing dan secara langsung dapat mendampingi masyarakat terutama pengundi atas pagar yang sebelum ini beralih kepada menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Antara jentera penerangan empat peringkat yang ditemui adalah seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Selain KBSM, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, ahli dan pemimpin UMNO perlu menggunakan prinsip 4P dan 4S bagi menarik sokongan empat juta rakyat yang akan berdaftar sebagai pengundi baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, 4P ialah Pemimpin, Perpaduan, Penerangan dan Pelaksanaan, manakala 4S bermaksud Semangat, Sama-sama berjuang, berSungguh-sungguh dan Sistematik.

Begitu juga dengan formula PP SM SS bermaksud bekerja pagi petang (PP), siang malam (SM) dan subuh senja (SS) atau dalam kata erti lain turun padang mendekati rakyat tujuh hari seminggu di mana menurutnya formula tersebut pernah dipraktikkan oleh Datuk Mustapa Mohamed di Jeli dan membuahkan hasil yang amat baik.

Menurutnya, hasil penggemblengan tenaga antara ahli dan pemimpin, tidak mustahil BN mampu menang lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum akan datang.

Ujar Ahli Parlimen Pontian itu lagi, antara usaha terpenting memperkukuhkan UMNO ialah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan semua peringkat.

“Saya cadangkan Ketua Penerangan mempunyai KPI daripada segi jumlah program penerangan yang dibuat terutamanya oleh UMNO cawangan, bahagian, negeri dan pusat,” katanya.

Bagaimanapun, kaedah-kaedah biasa seperti seminar, kursus, ceramah dan sebagainya perlu tetap diteruskan kerana ia juga penting.

Di samping itu, katanya lagi, UMNO perlu menggunakan kelebihan-kelebihan pada media cetak dan elektronik dalam mendekati rakyat dan seterusnya mencapai objektif mengukuhkan semula parti itu.

Terdapat empat kaedah yang perlu digunakan ialah MB (Media Bersemuka), MC (Media Cetak), ME (Media Elektronik) dan MM (Media Maya), tambahnya lagi.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Manik Urai, beliau berkata, pihaknya akan memberi penerangan kepada pengundi tentang apa yang berlaku di negeri Perak agar mereka benar-benar faham dan boleh membuat pertimbangan yang wajar.

”Di sana kita akan memberi penerangan tentang tuduhan-tuduhan pembangkang terhadap Barisan Nasional di Perak,” katanya.

Kenapa Pentingnya Perpaduan?


perpaduan

ISU perpaduan bukanlah sesuatu yang asing sebaliknya menjadi isu sejagat dalam menentukan hala tuju kesinambungan dalam sesebuah Negara.

Berkaitan hal ini, sememangnya tak dinafikan bahawa seringkali wujud pihak yang bersikap talam dua muka, sanggup menjadi gunting dalam lipatan atas hasrat merosakkan dan menghanurpunahkan kerajaan sedia ada hanya atas alasan untuk kepentingan politik peribadinya sendiri.

Sesungguhnya tidak kiralah di mana letak kedudukan idealogi atau manifesto politik sesebuah parti, seharusnya ia tidak akan membangkitkan persoalan-persoalan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kerukunan yang sedia terjalin erat.

Perlu difahami, konsep negara Malaysia hari ini terbina dengan ikatan persefahaman antara pelbagai kaum yang menjadi tunjang penggerak negara. Apa yang pasti ianya bukan terbina hanya dengan sekelip mata atau melalui coretan di atas kertas sahaja sebaliknya ia melibatkan rundingan demi rundingan iaitu perbincangan membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.

Dalam aspek perpaduan, ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan nipisnya ikatan persefahaman yang ada. Kekacauan dan ketidaktenteraman yang berlaku hinggakan alasan demokrasi dan kebebasan bersuara menjadi alasan ekoran tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.

Sememangnya, peristiwa berdarah 13 Mei perlu dijadikan iktibar apatah lagi dilaporkan bahawa angka rasmi menunjukkan 196 kematian, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan.

Ini tidak termasuk lagi dengan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang bukan sedikit impaknya.

Lantaran itulah, kewajaran perlu diletakkan di tangga teratas dalam melaksanakan tuntutan tanpa melihat kepada kepentingan individu semata-mata sebaliknya mengutamakan rakyat dan negara dengan menerobos masa hadapan.

Dalam mengaitkan dengan situasi politik yang berlaku hari ini, sememangnya kerisauan bukanlah ke atas cubaan pakatan campuran kepada motif untuk menghancurkan BN semata-mata sebaliknya ia juga adalah sebagai cubaan mereka untuk merobek keamanan dan kesejahteraan di samping merosakkan perpaduan antara kaum yang telah terjalin sekian lama.

Hasutan, provokasi dan manipulasi berterusan di samping ajakan untuk demonstrasi dihantar melalui sistem pesanan ringkas dan tulisan dalam laman media rasmi mereka, sama ada secara bercetak atau elektronik dengan alasan, kononnya untuk suarakan rasa hati.

Sememangnya diakui oleh para pemimpin dalam BN bahawa keputusan dalam pilihan raya lalu memberi kesan yang bukan sedikit malahan pelbagai pihak mula menggesa agar perubahan dibuat supaya landskap politik negara dan perpaduan dapat dilihat dalam skop yang lebih penting.

Namun demikian, atas kemuafakatan bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; ke bukit sama didaki dan ke lurah sama dituruni maka segala susah payah dan caci keji yang dilemparkan oleh pihak pembangkang juga adalah amanah bersama.

Lantas dalam agenda kebersamaan untuk terus mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan sikap tolak ansur dan saling memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain, walaupun berlainan parti, berlainan agama, budaya dan warna kulit tetapi atas satu Malaysia, BN menjadi tunjangnya.

Secara relatifnya dalam menjamin kemajuan dan keutuhan sesebuah negara adalah nilai rakyatnya untuk terus menyumbang bakti atas satu kesatua dan kebersamaan.

Lihatlah kedudukan BN hasil gabungan dengan parti-parti komponan yang mencakupi pelbagai bangsa, perbezaan agama dan budaya namun mampu mencapai kata sepakat bukan hanya ketika menjelangnya pilihan raya atau selepas menang bagi membentuk kerajaan semata-mata.

Sejak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 27 Julai 1955 hinggalah ke pilihan raya ke-12 yang lalu, BN yang dahulunya parti Perikatan tetap unggul bersama dengan hanya menggunakan satu lambang sebagai bukti perpaduan tanpa menonjolkan lambang parti masing-masing.

Parti-parti komponan dalam BN sentiasa menjaga muafakat dan persefahaman biarpun berlainan bangsa dan agama, dalam pelbagai situasi walaupun pernah dilanda badai 1969 tetapi kekukuhan bersama demi kesejahteraan diutamakan.

Lantaran itu, tentunya pihak yang sengaja cuba merosakkan hubungan yang terjalin ini adalah anggota/warga yang tidak bertanggungjawab dan gagal mennyelami maksud serta menghargai perpaduan yang dimiliki.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, dan penduduknya pula berbilang kaum tentunya kesejahteraan negara mendapat tempat yang istimewa dalam memanifestasikan kelestarian antara kaum dalam rakyat keseluruhannya.

Justeru, selamilah segala yang telah menjadi sejarah, lantas jadikanlah peristiwa-peristiwa lalu sebagai pengajaran untuk kesejahteraan yang berpanjangan.

Sunday, May 24, 2009

Manipulasi Lagi…


picasioncom-manipulasi

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Sudah-sudahlah. Tentunya rakyat telah muak dengan hidangan berita-berita politik apatah lagi apabila ada pihak-pihak tertentu yang sengaja menangguk di air keruh dengan memburuk-burukkan Kerajaan.

Tidak kiralah apa sahaja yang dilakukan oleh BN/UMNO, sama ada untuk keselesaan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat maka akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang atas tujuan untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Bukan sahaja memutar belitkan fakta yang sedia ada malah, ayat-ayat propaganda yang bombastik digunakan bagi menyedapkan cerita agar rakyat terpengaruh dengan dakyah negatif mereka untuk membenci Kerajaan.

Lihat sahaja bagaimana keputusan mahkamah berkaitan pentadbiran Negeri Perak yang tidak berpihak kepada pakatan pembangkang, maka ia dijadikan sebagai satu bahan oleh mereka dengan ceramah-ceramah semasa, kononnya mahkamah dipengaruhi oleh Kerajaan.

Bukan itu sahaja, baru dua hari kempen pakatan pembangkang untuk pilihan raya di Penanti bermula, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim telah menggunakan isu tersebut sebagai salah satu bahan utama memburukkan Kerajaan.

Sedangkan, jika dinilai semula kesannya untuk masyarakat di Penanti, ia tidak berkait langsung dengan pentadbiran Negeri Perak apatah lagi BN /UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya DUN Penanti.

Sememangnya ini bukanlah kali pertama berlaku malah dalam apa sahaja sesi ceramah yang diadakan oleh pihak pembangkang, kunci utama dalam ucapan mereka adalah dengan menimbulkan aib, fitnah dan caci maki kepada Kerajaan walhal mereka sendiri turut mendapat tempias hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Bukankah lebih baik masa berucap yang terluang diisi dengan agenda dan perancangan yang lebih baik daripada mengira dan cuba menelanjangkan orang lain sedangkan kurap panau di badan sendiri terserlah.

Nilailah sendiri, bagaimana mungkin pakatan pembangkang mahu bercakap tentang agenda dan masa depan parti mereka sedangkan mereka sendiri tandus dan fakir dalam mensyukuri setiap nikmat yang ada.

Jikalau mereka mahu bercakap tentang pembangunan dan kemajuan dalam parti mereka, bagaimana mungkin ia akan dilakukan sedangkan pakatan pembangkang tidak pernah menyumbang kepada apa-apa kemajuan sama ada di negeri lain apatah lagi di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka sendiri.

Jika mereka hendak bercakap tentang perpaduan pula, tidak ada satu bukti pun yang mereka benar-benar mengamalkan perpaduan sedangkan sikap mereka sendiri saling bermuka-muka biarpun sesama khalayak mereka sendiri, depan cakap lain dan di belakang tersedia belati tajam untuk saling bertikam.

Apatah lagi idealogi antara tiga parti bersekutu iaitu PAS, DAP dan PKR sendiri jauh menyimpang daripada apa yang menjadi realiti, dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Apa yang jelas, janji-janji yang mereka taburkan selama ini hanyalah palsu belaka, termasuklah berkerajaan sendiri, menjadi Perdana Menteri, kerajaan bayangan dan pelbagai janji manis yang nyata tidak akan menjadi realiti.

Lantaran itulah, modal paling mudah bagi pakatan pembangkang adalah dengan mencari keburukan dan memanipulasikan fakta-fakta sebenar demi kepentingan politik mereka.

Buktinya, di Penanti, biarpun jelas BN/UMNO tidak berkait dalam pilihan raya kecil tersebut tetapi namanya dijaja saban kempen yang pakatan pembangkang lakukan.

Justeru, nilailah sendiri siapa yang terdesak untuk mendapat sokongan rakyat?

Saturday, May 23, 2009

Berani Melakukan Perubahan – UMNO Pinda Perlembagaan


buku-perlembagaan

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden UMNO yang baru pada Mac lalu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan antara perubahan yang akan dilakukan di dalam parti adalah meminda perlembagaan parti berkaitan sistem pemilihan dan juga kuota.

Beliau dalam ucapannya berkata apabila pindaan dibuat, bermakna mandat untuk memilih pemimpin pusat akan diserahkan ke tangan lebih ramai ahli UMNO sehingga di peringkat akar umbi.

Langkah ini supaya parti mempunyai proses yang lebih telus, terbuka dan demokratik dalam soal pemilihan parti dan antara lain sekali gus membantu memulihkan parti daripada cengkaman politik wang yang melanda setiap kali musim pemilihan.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang medianya turut mencadangkan kepada ahli-ahli UMNO menggunakan mesyuarat peringkat cawangan yang kini sedang berlangsung ini sebagai platform bagi menyuarakan dan menyampaikan pendapat dalam pindaan Perlembagaan tersebut.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung khas pada 13 hingga 16 Oktober depan bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti untuk memastikan sistem pemilihan lebih telus, terbuka dan memberi peluang kepada ahli memilih pemimpin.

Kenyataan beliau itu jelas menunjukkan sikap kepimpinan sekarang yang terbuka menerima pendapat akar umbi demi kepentingan dan kelangsungan parti dalam sesuatu perkara.

Di samping perubahan yang dilakukan ini mampu meningkatkan integriti UMNO, ia juga dilihat menepati kehendak akar umbi dan secara langsung selepas ini tidak timbul lagi masalah tidak berpuas hati terhadap organisasi parti.

Jika sebelum ini hanya perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO sahaja yang berhak memilih pemimpin di peringkat pusat, jawatankuasa tersebut yang dibentuk juga sedang mencari langkah terbaik sama ada melibatkan keseluruhan ahli ataupun melibatkan 60 ribu ahli pemimpin di peringkat cawangan termasuk sayap.

Ini kerana, mereka yang memilih pemimpin parti secara tidak langsung juga akan memilih pemimpin bagi mewakili kerajaan. Daripada sini, jelas peranan yang dimainkan oleh ahli UMNO itu mewakili kehendak rakyat.

Manakala mengenai sistem kuota, dengan pindaan yang dilakukan, ahli akar umbi dapat menilai dengan tepat siapakah pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan ahli dan rakyat kerana tidak tertakluk kepada bilangan pencalonan semata.

Walaupun begitu, had-had tertentu serta merit perlu ditekankan supaya tidak terlalu ramai yang dibenarkan bertanding bagi sesuatu jawatan.

Walau apa jua perubahan dan pembaharuan yang dilakukan, usaha tersebut tidak akan memberi manfaat kepada parti jika tanpa kesedaran dan kesungguhan daripada setiap ahli dan setiap pemimpin UMNO.

Friday, May 22, 2009

Sumbangan kepada Remaja Labuan

Acara Graffiti Remaja 2009 mendapat sambutan yang hangat dikalangan Remaja Labuan dan pertama kali diadakan sempena LISC'09. Ahli Parlimen Labuan P133 YB. Datuk Hj. Yussof Hj. Mahal telah menyumbangkan Bantuan untuk menjayakan acara tersebut menerusi Persatuan Seni Visual Labuan.

Majlis Perasmian Pameran Seni Visual Borneo 2009
oleh tetamu kehormat
Prof. Madya Dr. Mohamed Najib bin Dawa
Ketua Pengarah
Balai Seni Lukis Negara
The Opening Ceremony of Borneo Visual Art Exhibition officiated by the Director-General of BSLN 
Prof. Madya Dr. Mohamed Najib bin Dawa.
        click image for enlarge
 Mr. Albert Appolo Chan(Director-Labuan Marine Park), Mr. Khalid & Dr.                                              Baharudin of UBD, tonymdy, Prof. Madya Najib, Azize and Mr. Nazim.                                                  
 

   
                                                              click image for enlarge
      

Remaja dan Belia Labuan juga mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Labuan.


   
        click image for enlarge
      

     

                                                             click image for enlarge
     

       click image for enlarge
     

      



Labuan Graffiti Mania 2009
some of 183 teens in Labuan participated in Labuan Graffiti Mania Challenge 2009
and only 20 group(60 teens) qualify for the final on the second day(2nd. May 2009).
      Winner with cash prize RM500 : Gun Smokez from SMK Labuan
      1st runner up RM300 : Demo from SMK Labuan
      2nd runner up RM200 : LIS from Labuan International School

         click image for enlarge
   
                                                            click image for enlarge

Sifu Bibicun & They in action giving some tips and tricks


     
      click image for enlarge
      


Boombing at Labuan Skate park              click image for enlarge

   

     

        click image for enlarge
     

   
                                                             click image for enlarge

      click image for enlarge