Monday, September 21, 2009

Aidilfitri Bukti Kesejahteraan Dan Kerukunan


picasion.com_e66c00d92015d21627d143177cfd6144KUALA LUMPUR, 21 Sept – Sambutan Aidilfitri yang diraikan oleh umat Islam turut sama dirasai kemeriahannya oleh seluruh rakyat Malaysia termasuklah masyarakat yang bukan beragama Islam sebagai bukti kesejahteraan dan kerukunan sentiasa terpelihara.

Sesungguhnya Hari Raya Aidilfitri tersebut adalah antara hari perayaan yang ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama bukan hanya sebagai lambang hari kemenangan bagi umat Islam tetapi juga sebagai masa untuk mengeratkan silaturahim dan hubungan persahabatan dalam masyarakat.

Bukan itu saja, sambutan perayaan tersebut yang dilakukan secara terbuka juga menjadi lambang keutuhan persefahaman antara kaum dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bukan sahaja kepada agama yang dianuti tetapi juga dalam jalinan mengekalkan kesinambungan kesejahteraan.

Sikap saling hormat-menghormati dan tolak ansur antara pelbagai masyarakat Malaysia terbukti apabila sambutannya diraikan dengan meriah tanpa sebarang gangguan dan kekacauan dari bangsa lain.

Sebenarnya bukan hanya untuk sambutan perayaan Aidilfitri sahaja sebaliknya persefahaman tetap terjalin erat dalam semua aktiviti dan perayaan kaum-kaum lain juga yang turut disambut meriah.

Walaupun memang pernah berlaku cubaan untuk memecah-belahkan persefahaman tersebut tetapi ia gagal dibuat lantaran keteguhan dan kerukunan yang utuh, tanpa sebarang prasangka malah menjalankan aktiviti seharian juga bersama-sama.

Sehubungan itu, sebagai masyarakat prihatin yang sentiasa bertolak ansur, Aidilfitri tersebut menjadi bukti kecintaan rakyat terhadap perpaduan bukan hanya kepada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa.

Sunday, September 13, 2009

Pesanan PM Jadi Ingatan Perkukuh Parti

malaysia bn

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Menilai semula matlamat pembentukan sebuah negara merdeka dengan kepimpinan yang teguh dan utuh bukanlah dapat dinikmati dengan sekelip mata atau semudah melafaz kata-kata sahaja.

Lantaran menghargai kepayahan dalam mengisi ruang kemerdekaan tersebutlah, maka sewajarnya kepimpinan yang ada bersama dengan kesejahteraan rakyat perlu terus dipelihara agar kesinambungan dalam keutuhan sebuah kerajaan dapat diteruskan.

Sejajar dengan itu juga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam turut menekankan bahawa parti yang kukuh perlu sentiasa relevan dan bersikap terbuka serta tidak meninggi diri.

Paling penting katanya, adalah untuk memenangi hati rakyat dengan sentiasa mendampingi orang ramai, merendah diri dan bersikap sederhana lantas bukan hanya popular dalam parti sahaja tetapi turut mendapat tempat dalam masyarakat.

Perlu difahami, perkongsian dan permuafakatan dalam pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat iaitu pemimpin berjiwa rakyat telah digunapakai sejak sebelum merdeka lagi malahan konsep kebersamaan inilah yang mampu mempercepatkan proses kemerdekaan apabila British yakin dengan keamanan yang terbentuk hasil perpaduan tanpa pertumpahan darah.

Dengan kebijaksanaan dan matlamat yang menekankan objektif jarak jauh, BN berfungsi dalam arena politik tempatan sebagai penerus pembinaan untuk sebuah Negara merdeka.

Di samping itu juga, kebergantungan antara satu sama lain sebagai pelengkap amat terserlah malah ikatan yang erat ini menampilkan kemesraan hinggakan jika cubit paha kanan paha kiri akan turut terasa juga.

Begitulah ibaratnya parti-parti kompenan dalam BN dalam memanifestasikan hubungan dengan rakyat.

Penggabungan kaum, pembahagian kuasa dan penyatuan dalam pelbagai aspek mendapat sokongan daripada semua pihak apatah lagi ia memberi kesan secara langsung dalam memudahkan pentadbiran khususnya sesetengah aspek yang memerlukan penerangan terperinci kepada kaum-kaum tertentu melalui ketua-ketua mereka.

Berlandaskan persefahaman bersama, Negara dapat dibangunkan dengan aman dan rakyat menikmati limpahan kesejahteraan walaupun hidup dalam lingkungan yang pelbagai bangsa, berlainan agama dan budaya lantas membentuk satu bangsa unik iaitu masyarakat Malaysia dengan budaya bersama.

Kerajaan campuran yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu sesungguhnya telah menyumbang kepada berbagai-bagai kebaikan hinggakan mampu mewujudkan satu kelainan dengan persefahaman dalam budaya campuran yang beraneka misalnya Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Thaipusam diraikan bersama.